Selasa, 10 November 2009
IMAN Member in women-only humanitarian mission to Padang, Indonesia
Dr. Nur Izura Udzir is a member of IMAN.

(Posting in Malay)


MISI 4 GLOBAL PEACE MISSION (GPM) KE PADANG




Tarikh : 27 – 29 Oktober 2009

Destinasi : Maninjau, Padang, Sumatera Barat, Indonesia

(Gambar: Anggota Misi 4 dari kiri : Dr Nur Izura, Normah, Nordiran, Syaripah Nazirah dan Norma)

Misi ke-4 GPM ke Padang telah berlepas pada Selasa 27 Oktober 2009 jam 7.50 pagi waktu Malaysia dari LCCT dan selamat tiba di Bandar Udara Minangkabau, Padang jam 8.00 pagi waktu tempatan. Misi disertai lima orang, kesemuanya wanita diketuai oleh Ustazah Nordiran Idris.

Misi kali ini lebih menumpukan aktiviti di sekitar Maninjau khususnya di Masjid Bancah, tempat warga Pesantren Buya Hamka mengungsi, dan Pusat Koordinasi (Posko) di Sg Batang.

Misi telah menjalankan aktiviti kaunseling trauma untuk mangsa gempa terutamanya wanita dan kanak-kanak di samping turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah sekitar hampir Rp. 30 juta kepada pengungsi di Posko Sg Batang dan Pesantren Buya Hamka.

Walaupun daerah Maninjau tidak mengalami kerosakan seteruk di Padang dan Pariaman; namun ramai juga keluarga yang terjejas. Terdapat sekitar 500 keluarga yang terlibat denagn gempa bumi. Mereka tidak berani tinggal di rumah kerana khuathir akan gempa susulan dan hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah longsor (runtuh). Sebahagian besar rumah di selingkar Danau Maninjau terletak di lereng bukit. Jika berlaku tanah longsor, tanah dan batu dari lereng bukit boleh melongsor dan menimpa rumah-rumah mereka. Kami dimaklumkan bahawa tiga kampung telah terjejas teruk antaranya Nanggai iaitu kampung terletaknya Pesantren Buya Hamka.

Pesantren Buya Hamka tidak dapat dihuni lagi. Bukit di sebelah pesantren telah runtuh dan lumpur memenuhi rumah-rumah guru, masjid dan asrama. Asrama lelaki tidak dapat diduduki lagi manakala asrama puteri yang pembinaannya disumbangkan oleh ABIM masih utuh. Namun lokasi pesantren agak merbahaya untuk dihuni lagi. Hujan lebat yang turun pada malam gempa yang lepas telah melongsorkan tanah-tanah bukit yang memaksa pesantren dikosongkan sepenuhnya.

Anak-anak pesantren telah ditempatkan sementara waktu di Masjid Banchah. Masjid Banchah terletak di tepi Danau Maninjau dan sangat dingin pada waktu malam dan pagi. Mereka tidur berbekalkan selimut di atas carpet tanpa tilam. Mereka telah mulai kembali tenang dari kecemasan gegaran dan hujan lebat yang melongsorkan tanah bukit yang hampir dengan pesantren mereka dan bukit-bukit yang mengelilingi Danau Maninjau. Namun begitu apabila hujan lebat, mereka masih menjerit-jerit ketakutan. Ini adalah kerana hujan lebat dalam masa yang sangat singkat akan melongsorkan tanah-tanah bukit di mana bunyi longsorannya sungguh mencemaskan.

Pihak pesantren sedang berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan segera tempat penginapan baru dan lokasi pesantren yang baru. Kami dimaklumkan bahawa tanah yang diwakafkan telah ada dan mereka memerlukan dana hampir Rp. 500 juta bagi pembinaan awal membangunkan kembali pesantren Buya Hamka.


OBJEKTIF MISI 4

  1. Membawa bantuan kewangan bagi Pondok Pesantren PP Prof Dr. Hamka, Batunanggai, Maninjau.
  2. Membawa bantuan kewangan bagi mangsa gempa yang mengungsi di Posko Sg. Batang, Maninjau.
  3. Memberi bantuan dari segi mental kepada mangsa gempa bumi.
  4. Merapatkan lagi tali persaudaraan dengan Pondok Pesantren PP Prof Dr. Hamka dan masyarakat di Maninjau.
  5. Menunjukkan sifat keperihatinan masyarakat Malaysia terhadap rakan ASEAN.
Mengikut pandangan masyarakat Maninjau, bumi Maninjau sering kali dilanda gempa bumi tetapi gempa bumi pada 30 September lalu adalah lebih lama berbanding sebelumnya, iaitu melebihi dua minit. Ditambah pula dengan hujan lebat sebelum dan selepas gempa bumi berlaku, ini telah memburukkan lagi keadaan (tanah longsor).


CATATAN PERJALANAN MISI 4 GPM


Hari 1 (Selasa, 27 Okt 2009)

Setibanya kami di Bandara Minangkabau, Padang pada jam 8 pagi waktu tempatan, kami disambut oleh wakil Dewan dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Ibu Rosmi Rizal bersama Pak Lem (pemandu/supir). Sebelum melangsungkan perjalanan ke Maninjau, kami dibawa melihat kesan-kesan gempa bumi di sekitar Kota Padang, melalui Pariaman dan Tiku. Rata-ratanya bangunan-bangunan di kota Padang terjejas oleh gempa, walaupun tahap kerosakannya berbeza-beza. Ada bangunan/rumah yang rosak/retak sedikit, ada yang senget/condong, ada yang tiangnya patah, ada juga yang ranap sama sekali. Agak menakjubkan juga bila kelihatan bangunan yang runtuh, atau mengalami kerosakan teruk sedangkan bangunan di sebelahnya, atau yang mengapitnya tidak terjejas langsung. Kami juga melewati Hotel Ambacang yang ranap, yang dilaporkan ramai yang tertimbus akibat tidak sempat menyelamatkan diri, sedangkan bangunan Bank BNI (Bank Nasional Indonesia) di sebelahnya tidak terkesan.

Dari kota Padang, kami meneruskanperjalanan ke Maninjau melalui Pariaman, daerah yang paling teruk terjejas oleh gempa bumi 30 September lalu. Boleh dikatakan hampir 90% rumah yang kami lihat mengalami kerosakan. Alhamdulillah penghuninya telah diberikan tenda (khemah) yang dipasang di laman rumah masing-masing. Kami kira mereka masih trauma dan tidak berani menduduki rumah mereka walaupun ada rumah yang hanya mengalami keretakan. Bagi kawasan/kampung yang lebih berisiko, penduduknya ditempatkan di tenda-tenda berkumpulan di suatu kawasan lapang seperti kem, yang dipanggil Posko (Pos Koordinasi).

Mengikut perancangan awal, kami akan ke Lubok Basung, untuk menziarahi Ibu Tati Aristo, isteri kepada Bapak Aristo, Bupati Agam, sebagai kunjungan hormat dari ABIM. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi beliau kerana Ibu Tati bersama rombongannya sekitar 60 pembantu dan petugas sedang dalam rangka kunjungan menyampaikan bantuan kepada penduduk di sekitar Pariaman dan kawasan-kawasan sekitarnya. Alhamdulillah, kita merancang, Dia jua yang menentukan: sewaktu kami berhenti di Rumah Makan Edi Tanjung di Tiku untuk makan tengahari, tanpa diduga kami ditakdirkan bertemu dengan Ibu Tati dan rombongannya.

Kami tiba di Maninjau sekitar jam 4 petang. Suasana dingin dan kesegaran udara tanah tinggi Maninjau bumi kelahiran Buya Hamka dan Pak Natsir menyambut kami, dengan pemandangan Danau Maninjau yang amat menenangkan. Danau Maninjau merupakan tasik hasil kawah gunung berapi, yang dikelilingi bukit bukau (mulut kawah). Tanah-tanah subur ini menjadi tarikan mendirikan kampung penempatan. Pertanian dan perikanan air tawar (di danau) merupakan mata pencarian utama di sini. Oleh itu, kebanyakan rumah-rumah penduduk di sini didirikan di lereng-lereng bukit, atau di kaki bukit, sekaligus menjadikan mereka terdedah kepada bahaya tanah longsor, khususnya selepas hujan lebat.

Selesai hemat diri di tempat penginapan, pada malamnya kami ke Masjid Bancah yang kini merupakan penempatan sementara anak-anak dari Pesantren Prof. Dr. Hamka yang turut terjejas selepas kejadian gempa bumi tersebut. Di samping anak-anak pesantren, kami bertemu Bapak Zainul Ariffin (Bang In), Pengetua Pesantren, dan tenaga pengajar pesantren. Kebetulannya Ketua Yayasan Pak Hamka, iaitu Bapak Haji Bachtiar juga berada di Maninjau mengunjungi pesantren sebagai sebahagian daripada urusan mendapatkan lokasi baru untuk membangunkan kembali pesantren tersebut. Sumbangan daripada warga prihatin Malaysia berjumlah lebih Rp. 19 juta disampaikan kepada Bapak Bachtiar khusus untuk pembinaan kembali pesantren.

Di Masjid Bancah yang saiznya seperti masjid kampung di Malaysia inilah tempat tidur dan tempat belajar anak-anak pesantren yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 13-16 tahun. Tempat tidur putera di suatu sudut, sementara puterinya di sudut lain, dengan penghadang (partitions) sebagai pemisah. Sejurus selepas gegaran, anak-anak pesantren sempat dikeluarkan dan dilarikan segera oleh pihak pengurusan pesantren, dan singgah di Masjid Bancah yang seterusnya menjadi tempat mereka mengungsi. Alhamdulillah kehadiran mereka direstui penduduk setempat. Bencana yang lebih buruk berlaku pada malamnya apabila hujan turun dengan lebat, mengakibatkan tanah longsor yang menimbus apa saja di laluannya, serta menghanyutkan rumah serta bangunan hingga ke danau. Bagi yang tidak sempat melarikan diri, ada yang hanya mampu terjun ke danau menyelamatkan diri.

Hari 2 (Rabu, 28 Okt 2009)


Pagi ini, dengan diiringi Ustaz Irfan dari Pesantren Pak Hamka dan Pak Lem, kami dibawa ke Posko Sg. Batang untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan wang tunai sebanyak Rp. 10.5 juta kepada keluarga yang mengungsi di khemah-khemah di situ. Kami turut mengedarkan majalah Ana Muslim (sumbangan Blue-T Communications Sdn Bhd) dan gula-gula sebagai ole-ole untuk anak-anak pengungsi di situ. Terdapat 180 keluarga yang menghuni khemah-khemah di Posko ini. Pihak Tentera Republik Indonesia (TRI) turut mebantu di situ dengan memasak untuk pengungsi yang tidak dapat memasak sendiri (akibat kekurangan bekalan atau peralatan).

Kami juga berkesempatan berbual-bual dengan kaum ibu pengungsi, mendengar cerita pengalaman dan luahan perasaan mereka, malah Sdri. Normah sempat menjalankan aktiviti kaunseling bersama ibu-ibu serta anak-anak yang mengalami trauma pasca bencana.

Pada tengaharinya, kami berkesempatan menziarahi Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka dan Masjid Amrullah (masjid yang dibina oleh datuk kepada Pak Hamka). Kemudian kami dibawa meninjau kawasan yang teruk dilanda tanah longsor pasca gempa, iaitu di Kampung Pandan. Kami melihat sekolah dasar (sekolah rendah) yang runtuh, dan anak-anak meneruskan pembelajaran mereka di dalam khemah yang didirikan di sebelah runtuhan sekolah. Kelihatan juga rumah yang hanya tinggal tapaknya sahaja, kerana rumahnya telah dihanyutkan tanah lumpur terus ke danau. Kami lihat rumah yang hanya tinggal ruang tamu, bilik tidur dan dapurnya telah runtuh, dan pelbagai macam kerosakan lagi.

Aktiviti pada petang dan malam pula dijalankan bersama anak-anak pesantren yang mengungsi di Masjid Bancah yang turut melibatkan aktiviti kaunseling pasca bencana. Ada anak-anak yang masih lagi trauma, terutamanya bila hujan turun, kerana terbayangkan tanah longsor dan gegaran lain. Anak-anak di sini sebahagiannya adalah anak-anak miskin, anak-anak dari keluarga yang bermasalah, anak muallaf dari Pulau Mentawai serta Pulau Nias dan sebagainya.

Selepas makan malam yang dibiayai oleh penyumbang Malaysia, diadakan sedikit perbincangan. Pihak pesantren dan penduduk setempat mengucapkan penghargaan mereka di atas keprihatinan, bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia kepada mereka. Pihak pemuka tempatan (semacam jawatankuasa kampung) memaklumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk memberikan lokasi di sebuah kampung yang ditinggalkan (kerana ramai anak muda telah berhijrah) untuk pembinaan semula pesantren. Lokasi tersebut telah pun dilengkapi dengan bangunan sekolah dasar, masjid dan juga rumah-rumah, serta kebun-kebun buah pala, koko dan sebagainya. Alhamdulillah kelihatannya urusan-urusan berkaitan pemberian lokasi ini seperti telah/hampir selesai, dengan surat dan dokumen berkaitan akan dibawa pulang oleh Bapak Bachtiar untuk diuruskan di Jakarta.


Hari 3 (Khamis, 29 Okt 2009)

Kami bertolak meninggalkan bumi Maninjau pada jam 8 pagi waktu tempatan untuk ke Padang (penerbangan ke Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 2.35 pm), ditemani Ibu Rosmi dan Pak Lem. Jika perjalanan dari Padang ke Maninjau melalui jalan menyusuri pantai (melalui Pariaman dan Tiku), perjalanan kali ini melalui lereng bukit, iaitu Kelok 44 yang terkenal ke Bukit Tinggi dan Padang Panjang. Pemandangan lembah danau Maninjau daripada lereng bukit 44 kelok itu sangat memukau, dengan sawah yang bertingkat-tingkat, kebiruan air danau, kehijauan bukit bukau yang mengelilingi danau – walaupun sedikit tercemar dengan jalur-jalur merah kesan tanah longsor – dan bunga-bunga mengharum begitu meruntun hati kami, membuatkan kami ingin segera kembali ke sini.

Perjalanan melalui Padang Panjang menyaksikan kesan-kesan hakisan dan tanah longsor di lereng-lereng bukit sepanjang jalan, seperti batu-batuan sebesar sebuah bilik yang telah tergoleh dari bukit. Khabarnya akibat hujan lebat seminggu selepas gempa, tiga buah kenderaan telah dihanyutkan ke gaung di bawahnya, manakala dua lagi kenderaan tertimbus di jalan tersebut. Alhamdulillah perjalanan kami lancar tanpa sebarang bencana, dan kami selamat tiba di Bandara Minangkabau Padang pada jam 12 tengahari. Pesawat berlepas meninggalkan Padang pada jam 2.35 pm waktu tempatan.


Penutup

Misi ke 4 GPM telah berjaya mencapai objektif dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk Maninjau dan pihak pesantren.

Lanjutan dari misi ini, sokongan dari ABIM dan GPM selanjutnya adalah bagi mengumpulkan dana bagi pembinaan semula pesantren yang telah dibantu sejak 10 tahun yang lalu. Adalah diharapkan pengumpulan dana sebanyak Rp 500 juta dapat dijalankan secepat yang mungkin agar anak-anak pesantren tidak perlu lagi menumpang di Masjid Bancah yang serba kekurangan itu.
posted by Interactive Muslimah Association (IMAN) @ 11:18 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
 

Notice board

5 Feb 2010 - IIUM will be organising a talk on kalimah Allah on Feb 5. Muslimin and muslimat are invited to join the program.
Who's Reading
 
From the President's Desk

I woke up before fajr this morning with a thought over Faridah's mail. In my previous two mails, I had explained to some details why I strongly believe not to get into a tango with people whose mission is to revise Islam for their own specific purposes, humiliate our 'ulama' and discredit mainstream Muslims.... (Click to read more)

Previous Post
Archives
Links
About Us

IMAN's Vision
Mission
Objectives
Meaning of our Logo

Contact Us

(Will be updated soon)

Legal Matters

(Will be updated soon)

Education updates
(Will be updated soon)
Travel
(Will be updated soon)