Ahad, 18 Januari 2009
SEMINAR MEMPERINGATI 100 TAHUN PAHLAWAN NASIONAL BAPAK MOHAMAD NATSIR

SAMBUTAN
Y BHG DATO' DR SIDDIQ FADZIL
PRESIDEN  WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA

(WADAH)
SEMPENA SEMINAR 

MEMPERINGATI 100 TAHUN
PAHLAWAN NASIONAL BAPAK MOHAMAD 

NATSIR 10 JANUARI 2009


Dengan kalimat tahmid  al-hamdu li ‘Llahi 

haqqa hambih,  kami atas nama penganjur bersama,  Wadah Pencerdasan umat Malaysia dan Kolej Universiti  Islam Antarabangsa Selangor   menyatakan kesyukuran  atas   kurnia kesempatan mengadakan  Seminar  Serantau Memperingati  100  Tahun Pahlawan Nasional Mohammad Natsir.   Seterusnya kami  merakamkan  rasa terima kasih  kepada YAB  Tan Sri  Abdul Khalid Ibrahim,   Dato’ Menteri Besar Selangor  atas kesudiannya  hadir merasmikan  seminar  dan atas segala  bentuk sokongan lainnya.  Terima kasih seterusnya kepada Sdr YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.  Sesungguhnya  kami sangat berbahagia  dapat menghadirkan  YB Dato’ Seri sebagai tokoh Malaysia yang paling akrab  dengan almarhum Bapak Mohammad Natsir untuk menyampaikan ucap utama.   

Selanjutnya  terima kasih istimewa buat Ibu Asma’  atas kesediaan hadir  mewakili keluarga dan kerabat al-marhum Bapak.   Sesungguhnya  keberadaan ibu di tengah kami menjadikan seminar ini lebih bererti dan lebih mengesankan.  Atas nama penganjur kami juga ingin merakamkan  penghargaan yang setinggi-tingginya istimewa untuk teman-teman pembentang makalah atas kesudian memenuhi undangan dan penat lelah menyediakan makalah.     Dan seterusnya kami tidak melupakan para peserta  seminar  yang tanpa  kehadiran anda apalah erti seminar ini. Terima kasih untuk semua yang hadir dan semua yang menyumbang  dalam bentuk apa pun. 

Kami  terpanggil  untuk menganjurkan seminar ini  digerak oleh suara hati  yang ingin menjadi  bangsa yang tahu menghargai jasa dan pandai menilai budi, yang tahu mengenal pahlawan dan pandai  mencari teladan.    Di tengah kejenuhan  saban hari disuapi  propaganda  membesar-besarkan orang kecil dan mengecil-ngecilkan orang besar;  semoga  hari  ini kita bahagia mendengar pengkisahan  tokoh besar yang benar-benar besar,  tokoh yang telah jauh langkah sejarah yang  ditapakkannya,   tokoh yang telah panjang tinta goresan penanya,  tokoh yang telah lama merasakan pedihnya cedera luka memperjuangkan prinsip dan keyakinannya.    Mohammad Natsir,  Perdana Menteri Pertama Negara Kesatuan Republik Indonesia,  adalah pemimpin misali  yang kita hadirkan citra peribadi dan sosok kepeloporannya   pada saat  kita mengalami   musim banjir idola, kemarau teladan.

 

Mohammad Natsir adalah antara putera terbaik rantau ini.    Track record perjuangannya menjadi saksi prestasi uniknya sebabagai pemikir dan pejuang.   Dalam deretan nama-nama besar  pejuang kemerdekaan,  terdapat  suatu yang istimewa pada Mohammad Natsir.  Beliau adalah pejuang kemerdekaan  yang   benar-benar memahami  erti dan esensi  kemerdekaan yang diperjuangknnya.   Bagi  Mohammad Natsir,  perjuangan  kemerdekaan    tidak hanya  harus mampu  mengenyah penjajah dan harus  mampu    menghancurkan  sistem  warisan kolonial,    tetapi lebih daripada  itu harus tahu  melakukan  rebuilding,   mengisi kemerdekaan  dengan kedaulatan rakyat dan keunggulan  syari`at.   Meminjam ungkapan  Malik Bennabi,  kemerderkaan harus meliputi     istiqlal al-ard  dan istiqlal al -`aql (kemerdekan bumi dan kemerdekaan jiwa-minda bangsa).   Tentang hubungannya dengan Islam pula Mohammad Natsir mengatakn,  ia harus diertikan sebagai kemerdekaan bagi Islam itu sendiri,  sehingga  Islam bebas  dilksanakan sepenuh dan seutuhnya sebagai cara hidup. 

 

Dalam kerjaya   politiknya juga terdapat  suatu yang istimewa.  Politik  Mohammad Natsir  tidak  hanya  sekadar riuh rendah memperebutkan  kerusi,  tetapi politik yang  substantif,  politik yang berintikan  idea, pemikiran, konsep, gagasan dan wawasan kenegaraan sepreti Mosi Integral yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada legasi politik Mohammad Natsir.  Sebagai pemimpin parti Islam (MASYUMI)  Mohammad Natsir mencipta sejarah kepeloporan melakukan eksperimen politik perkongsian kuasa dalam pemerintahan pelbagai parti dan pelbagai ideologi.    Kiprah politik Mohammad Natsir memang  menarik dan mengesankan. Selain idea-idea cemerlangnya, kekuatan politik Mohammad Natsir terletak  pada integriti dan wibawa peribadinya.  Andainya hendak dicari jelmaan nyata dari sikap yang disebut al-waqi`iyyatu ‘l-mu’asalah atau pendekatan realistik yang berprinsip,   tanpa  ragu, politik gaya Mohammad Natsir itulah  contoh paling tepat.    Seawal  zaman Mohammad Natsir,  pelbagai bentuk  permainan   politik curang  sudahpun menggejala.  Dalam kaitan inilah menyerlahnya sosok kepemimpinan politik Mohammad Natsir sebagai model politik santun di tengah maraknya budaya politik  caci-maki, carut-marut dan sumpah seranah.   Perkembangan budaya politik hari ini  yang jelas semakin tercemar dengan pelbagai amalan politik kotor,  kita memerlukan kehadiran Nasir-Nasir baru.   Semakin menggilanya budaya politik wang  telah menciptakan sejenis industri politik apabila politik menjadi bisnes besar, di samping menjadi lahan rasuah yang subur.   Politik santun gaya  Mohammad Natsir seharusnya dapat memugar idealisme politik moral dan politik ilmu,  politik yang subur dengan idea dan gagasan segar,  dan tidak hanya gamat dengan sorak-sorai  pertunjukan akrobatik perpolitikan yang licik. 

 

Bagi kami,  Mohammad Natsir adalah pahlawan  tulen.  Memang  bukan asal melawan namanya pahlawan,  tetapi tergantung  apa dan  siapa yang dilawan,  juga  bila dan bagaimana ia melawan.   Pahlawan adalah pejuang   yang menepati  ciri-ciri kewiraraan  unggul,    Jelmaan idealisme,  aspirasi  dan nilai-nilai umat zamannya,  memperlihatkan kualiti istimewa   yang menonjol,   diakui oleh rakan-rakan seangkatannya.  Mohammad Natsir bukan  wira   dalam karya fiksyen,     tetapi  pahlawan  dalam realiti sejarah,   zaman  merebut kemerdekaan,  zaman menentukan haluan negara,  zaman mengangkat martabat bangsa,  zaman   pertembungan budaya dan ideologi.  Mohammad Natsir bukan wira dalam sastera tradisional,   manusia sakti yang gagah perkasa berurat dawai bertulang besi, tampil memencak-mencak  menghunus keris mencabar lawan sambil berpantun:
   
                                     Apa guna pergi ke bendang
                                     kalau tidak bertanam padi,
                                     apa guna senjata disandang
                                     kalau tidak berani mati.

 

Mohammad Natsir  bukan juga jenis  wira  DEB  seperti yang  diungkapkan oleh Sasterawan Negara  Keris Mas lewat novelnya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.  Watak  Mohamad bin Orang Kaya Indera Datuk Idris bin Mohamad Saman dalam novel tersebut adalah manusia kapitalis-individua lis  produk DEB.  Untuk  mencapai cita-cita serakahnya mahu cepat kaya,  Mohamad menubuhkan sebuah syarikat bumiputera,  Syarikat Lombong Lembah Tualang yang beliau sendiri menjadi pengerusinya.  Bagi membolehkan projek syarikatnya dilaksakan,  beliau   mengusir penduduk Kampung Pulau,  temasuk kaum kerabatnya sendiri.  Selain itu beliau juga memperalat rakyat kecil,  menganiaya Penghulu dan menggunakan khidmat samseng.         Manusia berwatak  rakus, kejam  dan mementingkan diri seperti   itulah  yang dijadikan  ”wira baru ”  masyarakat Melayu.    Mohammad Natsir adalah pahlawan kemanusiaan yang memperjuangkan  aspirasi  kesejahteraan umat.   Mohammad Natsir adalah pahlawan demokrasi tulen  yang berintikan  prinsip kedaulatan rakyat,  bukan demokrasi terpimpin yang kian hari kian hilang demokrasinya, yang tinggal hanya terpimpinnya.    Mohammad Natsir adalah pahlawan rakyat kecil,  kaum  du`afa’ yang sangat dihargainya sebagai sumber kekuatan.   Demikianlah  keyakinannya  yang berpangkal  pada  sabda nabawi, “Sesungguhnya kamu diberi kurnia dengan kaum du`afa’ kamu.”  Dari  hadith itulah Mohammad Natsir menangkap isyarat   tentang potensi  kekuatan yang tersimpan pada diri  rakyat kecil.  Kepada kita semua MN berpesan agar pandai-pandailah membongkar kekuatan terpendam itu, rakyat  kecil  dan kaum du`afa’ sekai-kali jangan diremehkan.  Sewaktu-waktu mereka boleh bangkit meledakkan kekuaan raksaksa.  Mohammad Natsir menyebut mereka sebagai golongan nothing to lose,   golongan yang tidak takut kehilangan apa-apa,  kerana mereka memang tak punya apa-apa.   Nasib orang  kecil memang selalu buruk.  Orang kecillah yang selalu dirugikan,  seperti kata penyair,  orang kecil,   salah tak salah disalahkan;  sedang orang besar benar tak benar dibenarkan.  Orang kecil  jujur dibilang tolol;  orang besar tolol dibilang jujur.    Orang besar boleh bicara seenaknya, orang kecil paling-paling hanya dibicarakan. 

 

Demikianlah   sebuah model kepahlawanan mukmin   yang  kekuatan daya juangnya   adalah  pancaran dinamika iman kepada Allah ,  jelmaan  ghairah cinta  agama dan umat.    Mohammad Natsir  adalah  sosok pahlawan  yang  tidak hanya gagah menghahapi lawan,  tetapi juga gigih  memperkasa umat.   Agenda pemberdayaan  versi Mohammad Natsir  adalah  meliputi    pembinaan watak  bangsa yang bebas dari gejlala  al-wahn,   istilah  nabawi tentang tragedi  kelumpuhan daya lawan,  kehancuran  kualiti  dan kerosakan   mentaliti  umat  generasi    zaman  belakangan.    Al-wahn  adalah istilah kunci  yang didefinisikan oleh Junjungan al-Rasul s.`a.w.  sebagai  hubbu  ‘d- dunya wa karahiyyatu ‘l-mawt.   Ungkapan yang  merumuskan  penyakit-penyakit  generasi  itu biasanya diterjemahkan  secara konvensional dengan ungkapan “cintakan dunia dan takut mati”.    Mohammad Natsir menterjemahkannya dengan kata-kata yang lebih bertenaga dan lebih mengesankan,   buka sekadar cinta dunia,  tetapi  “rakus kepada dunia dan takut menghadapi risiko”.       Kata-kata tersebut bukan sekadar retorika  menjamu selera,   tetapi begitulah suara hati  seorang da`iy  murabbiy   --    pendakwah pendidik    --   yang telah  lebih dahulu  menterjemahkannya dalam amal  nyata sebelum menterjemahkannya dalam pengucapan kata-kata.      Untuk melaksanakan misi pemberdayaan menerusi pembebasan umat dari  cengkaman jiwa dan mentaliti  al-wahn,    Mohammad Natsir menghadirkan dirinya di tengah umat dengan  penampilan yang inspiring-empowerin g.     Itulah kekuatan Mohammad Natsir,   juru dan guru dakwah  yang setiap anjurannya tertayang  pada watak dan amalnya.   Demikanlah,  kesungguhannya memerangi  mentaliti  hubbu   ‘d-dunya    kerakusan terhadap  materi duniawi  tercermin pada kesederhanaan  gaya hidupnya;  dan  komitmennya membangun umat  yang tidak takut  menanggung risiko terserlah pada keberaniannya  membuat keputusan-keputusan besar dan melakukan tindakan-tindakan  perlawanan  hidup-mati,  do or die.

 

Mohammad Natsir  telah dipanggil pulang  setelah  berdekad-dekad, bahkan sepanjang hayat  malang melintag dalam perjuangan menepati janjinya  sebagai seorang mukmin (mina ‘l-mu’minina rijalun sadaqu ma `ahadu ‘l-Llaha `alayh…).   Bagi kami,  generasi pelanjut  amal  Islami yang ditekuninya hingga  ke denyut nadinya yang terakhir,   Mohammad Natsir adalah  jelmaan ayat:  wa man ahsanu qawlan min man da`a ila ‘Llahi wa `amila salihan wa qala innani mina ‘l-muslimin.                 

 

MN memang  berhak  mendapat penghargaan yang  selayaknya  sesuai dengan nilai amal bakti yang disumbangkannya,   dan lebih daripada itu Mohammad Natsir juga layak diteladani  sesuai  dengan  keunggulan kualiti peribadinya.    Kami  yakin para pemakalah,  dengan ketajaman daya renung keintelektulan mereka  akan  menghidangkan fakta  seadanya dan analisis  sejujurnya,   sebagaimana kami yakin Mohammad Natsir  bukan jenis  manusia   bercitra  wa yuhibbuna an yuhmadu bima lam yaf`alu,    manusia mabuk pujian sehingga  mengclaim  jasa  dan amal  yang tidak pernah dilakukannya.      

 

Semoga seminar  ini  dapat  merealisasikan  sebahagian daripada misi besar  pencerdasan dan pencerahan.

posted by Interactive Muslimah Association (IMAN) @ 7:21 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
 

Notice board

5 Feb 2010 - IIUM will be organising a talk on kalimah Allah on Feb 5. Muslimin and muslimat are invited to join the program.
Who's Reading
 
From the President's Desk

I woke up before fajr this morning with a thought over Faridah's mail. In my previous two mails, I had explained to some details why I strongly believe not to get into a tango with people whose mission is to revise Islam for their own specific purposes, humiliate our 'ulama' and discredit mainstream Muslims.... (Click to read more)

Previous Post
Archives
Links
About Us

IMAN's Vision
Mission
Objectives
Meaning of our Logo

Contact Us

(Will be updated soon)

Legal Matters

(Will be updated soon)

Education updates
(Will be updated soon)
Travel
(Will be updated soon)